PopAds.net - The Best Popunder Adnetwork
kakilambung. Powered by Blogger.

Tiga didakwa jual Datuk palsu


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan seorang janda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lapan pertuduhan menipu kononnya mereka boleh mendapatkan anugerah Datuk Kerabat Diraja Kelantan kepada mangsa-mangsanya.

Tertuduh, Saharuddin Awang Yahya, 60, dan Norzihan Zainal Abidin, 53, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Saharuddin dan Norzihan didakwa menipu lapan individu de­ngan memperdayakan mangsa-

mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan anugerah Datuk dari Kelantan sebelum mangsa-mangsa menyerahkan cek dan wang tunai yang ke­semuanya berjumlah RM705,000.

Saharuddin dan Norzihan didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar ibu negara dan Ampang, Selangor antara Mac 2014 dan Januari 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih 14 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai. Saharuddin diwakli peguam Zamri Ibrahim manakala peguam Fahmi Abd. Muin mewakili Norzihan.

Allan mencadangkan wang ja­minan RM300,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh dengan alasan ramai mangsa yang terlibat serta kerugian yang banyak dialami mangsa-

mangsa.

Mat Ghani membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan ma­sing-masing.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini untuk pengurusan kes manakala prosi­ding perbicaraan akan dijalankan pada 26 hingga 29 Oktober dan 16 hingga 19 November ini. Seramai empat hingga lima saksi akan dipanggil pihak pendakwaan bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Ampang, bekas suami Norzihan iaitu Mohd. Azmi Ahmad Zahari, 51, turut tidak mengaku bersalah atas satu pertuduhan menipu seorang individu dalam urusan sama melibatkan kerugian RM60,000 di hadapan Bank HSBC di Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang pada pukul 11 pagi 29 April 2013.

Allan mencadangkan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohd. Faizal Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan yang rendah meman­dangkan perniagaan anak guamnya terjejas selain menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah serta menyara ibu yang uzur.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis Ampang pada setiap awal bulan sebagai syarat tambahan.

Mohd. Azmi membayar wang jaminan tersebut.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes Mohd. Azmi ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.




Bagikan :
+
Previous
Next Post »
0 Komentar untuk "Tiga didakwa jual Datuk palsu"
 
Template By Kunci Dunia
Back To Top